Categories
SELANGOR

MBPJ anjur Bulan Landskap Petaling Jaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 MAC: Sempena Hari Landskap Negara hari ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) buat julung kalinya menganjurkan Bulan Landskap Petaling Jaya 2017, sepanjang Mac ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, terdapat tiga program utama dirancang Jabatan Landskap bagi meraikan hari istimewa itu bersama warga Petaling Jaya.

Katanya, program berkenaan adalah Majlis Perasmian Bulan Landskap Petaling Jaya di Taman Aman pada 4 Mac ini, Program Kawasan Lapang Angkat dan Kebun Komuniti SS24 (11 Mac) serta Program Pembudayaan Landskap dan Pengenalan Kaedah AgroBox di Dataran Anak Muda (18 Mac).

“Ia bertujuan menarik perhatian orang awam dan warga Petaling Jaya berkenaan kepentingan landskap dalam pengindahan sesuatu bandar.

“Mereka akan didedahkan dengan konsep landskap berfungsi dari segi penyediaan fasiliti, pewujudan kawasan bebas halangan, pewujudan ‘outdoor classroom’ melalui penanaman spesis pokok nadir serta pelaksanaan kaedah bertani sendiri di rumah,” katanya di Mesyuarat Majlis di sini, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata, bagi menutup Bulan Landskap Petaling Jaya, pelancaran program ‘PJ Kita – Kebun Kita’ akan turut diadakan ketika Hari Kualiti MBPJ, penghujung Mac ini.

“Program ini wajar dijadikan aktiviti utama Jabatan Landskap setiap tahun sebagai menyokong hasrat MBPJ membentuk imej metropolis yang kondusif serta lestari,” katanya.

-AA-