Categories
SELANGOR

KDEBWM tingkat usaha pelihara alam sekitar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Sistem pengurusan sisa pepejal cekap dan berkesan dipelopori KDEB Waste Management (KDEBWM) memberikan impak positif terhadap usaha Kerajaan Selangor memulihara alam sekitar di negeri itu.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan demi memastikan kawasan perumahan dan persekitaran didiami penduduk bersih daripada biasa.

“Sejak diberi tanggungjawab menguruskan kutipan sampah domestik dan pukal di Klang, kita sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi memastikan segala masalah dihadapi di kawasan kendalian Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditangani segera.

“Usaha dijalankan KDEBWM membuahkan hasil dengan tahap kebersihan lebih baik di Klang dan kini kita meluaskan operasi di Selayang dan Ampang Jaya, sejak dua minggu lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, kewujudan kawasan persekitaran lebih bersih menyebabkan kehidupan masyarakat menjadi lebih sempurna, sekali gus menyumbang kepada langkah pemuliharaan alam sekitar.

Ramli berkata, dengan tanggungjawab lebih besar selepas ini, KDEBWM akan terus berusaha gigih bagi memenuhi misi ditetapkan Kerajaan Negeri.

RAMLI TAHIR“Kita akan meningkatkan penggunaan tenaga kerja selain menambah lori bagi memudahkan kutipan sampah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Seperti di Klang, kita berharap mendapat kerjasama baik daripada semua terutama pihak berkuasa tempatan dalam menjayakannya,” katanya.

Sebagai mengorak langkah untuk penambahbaikan pengurusan sisa pepejal di Selangor, Kerajaan Negeri melantik KDEBWM iaitu syarikat milikan penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menunjangi projek perintis pengurusan sampah di kawasan pentadbiran MPK.

KDEBWM yang memiliki pegangan 100 peratus syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB) sebagai kontraktor kutipan sampah domestik dan pembersihan awam, meningkatkan keupayaan kapasiti asetnya dengan membeli 50 kompaktor untuk disewakan kepada sub kontraktor di Selangor supaya kerja kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

-AA-