Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Bandar Country Homes bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 24 MAC: Pasar Moden Bandar Country Homes, Rawang yang mengalami kerosakan ekoran kejadian vandalisme bakal dinaik taraf tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, kerja menaik taraf itu meliputi penukaran bumbung, siling, pemasangan pair air baru, pembaikan tandas dan surau.

Katanya, ia bakal menelan belanja RM118,560 menerusi peruntukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kontraktor akan mula kerja pada minggu depan, selepas waktu operasi penjaja bagi kesenangan semua dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu.

“Diharap orang awam bersama menjaga kebersihan dan infrastruktur di pasar ini supaya tiada lagi vandalisme berlaku secara kerap,” kongsinya menerusi status di Facebook.

Terdahulu, Pei Nei membuat lawatan di pasar terbabit bersama kakitangan MPS dan penjaja.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan peniaga di pasar berkenaan turut memohon diletakkan pengawal keselamatan di situ ekoran masalah kecurian yang semakin membimbangkan, terutama pada waktu malam.

-AA-