Categories
NASIONAL

Persepsi rasuah di Malaysia semakin meningkat

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan perlu mengambil perhatian serius berkenaan isu rasuah di negara ini memandangkan persepsi rakyat berhubung perkara itu meningkat saban tahun.

Presiden Pertubuhan Transpirasi Antarabangsa Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, berdasarkan Barometer Korupsi Global 2017 yang dilakukan Pertubuhan Transpirasi Antarabangsa (TI) bagi Rantau Asia Pasifik, 60 peratus responden kajian itu merasakan kes rasuah di Malaysia meningkat.

Katanya, lebih membimbangkan, 62 peratus peserta merasakan kerajaan tidak menangani gejala terbabit dengan baik, manakala 53 peratus lagi tidak melakukan tindakan efektif bagi membanteras rasuah.

“Hanya 11 peratus sahaja merasakan rasuah di Malaysia semakin menurun. Dalam kajian sama pada 2013, hanya 39 peratus merasakan gejala itu meningkat,” katanya dalam kenyataan media.

Akhbar berkata, 41 peratus merasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menangani gejala itu sebaiknya dengan polis menjadi agensi kerajaan yang mencatatkan potensi pengambilan rasuah tertinggi sebanyak 57 peratus.

akhbarKatanya, kajian itu turut menunjukkan 17 peratus responden akan melawan gejala terbabit dengan tidak memberi rasuah, manakala hanya 12 peratus sahaja yang akan berani tampil membuat laporan jika mempunyai maklumat.

Sehubungan itu, TI-M memberi beberapa cadangan kepada kerajaan dalam usaha memerangi rasuah daripada terus menular di negara ini.

“Kerajaan perlu mengemukakan langkah pencegahan baru di beberapa sektor yang mempunyai potensi tinggi berlaku amalan rasuah.

“Selain itu, TI-M juga minta pemberi maklumat (whistleblower) diberi perlindungan supaya lebih ramai individu akan tampil membuat laporan,” katanya.

-AA-