Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sokong usul heret AG ke Parlimen

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Semua ahli parlimen digesa menyokong usul mengheret Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ke Parlimen bagi menjelaskan keputusannya ‘membebaskan’ Perdana Menteri berhubung kes derma RM2.6 bilion.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tiada sebab untuk ahli parlimen yang mengaku menjunjung tinggi nilai integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan menolak usul berkenaan.

Katanya, usul difailkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad itu juga adalah tepat pada masanya.

“Malah, jika Apandi komited dengan prinsip pentadbiran baik dan kedaulatan undang-undang, beliau sebenarnya tidak memerlukan sebarang usul memaksa dirinya.

“Beliau sendiri sepatutnya menawarkan diri bagi menjawab semua persoalan berkenaan skandal 1MDB (1 Malaysia Development Berhad) di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kebisuan Raja Salman berhubung isu derma RM2.6 bilion sepanjang lawatannya ke negara ini adalah tamparan hebat terhadap integriti Datuk Seri Najib Razak,

limkit siang-markshort“Tindakan berdiam diri itu difahami memandangkan kredibiliti Arab Saudi terpaksa dipertaruhkan.

“Melainkan jika mereka boleh membuktikan bahawa dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung derma RM2.6 bilion itu tidak benar,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Khalid yang juga Ketua Penerangan Amanah mengumumkan usul itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan AG di Parlimen berhubung percanggahan kenyataan isu RM2.6 bilion.

Dakwanya, siasatan dan keputusan mahkamah luar negara menunjukkan dana berkenaan sememangnya berasal daripada wang 1MDB yang diseleweng, seperti diputuskan di Singapura.

Ia berbeza daripada kenyataan Apandi kononnya dana itu adalah derma keluarga diraja Arab Saudi.

-AA-