Categories
NASIONAL

Subromaniam dilantik Ketua Pengarah Kastam baru

SHAH ALAM, 24 MAC: Datuk T Subromaniam dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baru, berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Subromaniam, 58, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan/Penguatkuasaan) menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad yang bersara.

Subromaniam berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam, pada 29 Julai 1984.

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Sebelum ini, Subromaniam pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kastam Siasatan (Bahagian Penguatkuasaan) dan Ketua Penolong Pengarah Kastam Cawangan Siasatan.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki akan membolehkan beliau (Subromaniam) melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta mampu meneruskan visi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia,” katanya.

Ali bagi pihak kerajaan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Khazali di atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara, selama lebih 36 tahun.

-AA-