Categories
NASIONAL

Teguran Agong tepat, rasuah semakin parah

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 MAC: KEADILAN menyokong teguran diberikan DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenaan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku secara berleluasa di negara ini.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, teguran dibuat baginda tepat pada masanya keran isu terbabit terutama rasuah dilihat semakin membimbangkan serta berada pada tahap parah.

“Jika macam barah, kita ada tahap satu hingga empat, maka rasuah di negara ini melepasi tahap tiga dan mahu memasuki tahap empat.

“Ia adalah sesuatu yang perlu dipandang serius, malahan perlu didebat secara terbuka dan holistik mulai esok dalam sidang Parlimen,” katanya kepada SelangorKini di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu ekonomi yang turut menarik perhatian Yang Dipertuan Agong perlu dipandang serius kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, katanya, ia menjadi persoalan sama ada kerajaan bersedia menerima pandangan itu atau menjunamkan ekonomi negara, pada tahap lebih merudum.

“Ini kerana dengan cara pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kita nampak terlalu banyak penyelewengan dan ruang yang perlu diatasi termasuk pembaziran.

“Saya rasa beberapa tahun ini kita nampak perlakuan kerajaan yang menggambarkan kealpaan dan ketidakseriusan serta tidak nampak kerajaan mempunyai ‘political wheel’ untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.

-AA-