Categories
NASIONAL

Untungkah EIS?

SHAH ALAM, 1 MAC: Skim Insurans Pekerja (EIS) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi diakui mempunyai banyak kelebihan, namun klausanya mungkin bertindih dengan undang-undang sedia ada.

Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, cadangan kerajaan itu menimbulkan perbalahan walaupun ia bagi membantu pekerja diberhentikan mendapat bantuan kewangan sementara dan latihan kemahiran.

Beliau berkata, ia juga disifatkan sebagai tamparan besar kepada majikan yang sebulat suara membantah skim terbabit kerana mendakwa ia tidak dirancang sebaiknya.

“Malaysia mempunyai rangkaian keselamatan sosial rangka kerja menyeluruh melalui pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kesihatan swasta dan insurans kemalangan, skim pencen dan sebagainya.

“Ia termasuk perjanjian kolektif (bayaran pemberhentian pekerja), gaji dan Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan Dan Rentikerja Sentara)-ELTB, 1980 yang menyediakan bayaran pampasan kepada pekerja diberhentikan.

“Majikan merasakan hak pekerja tidak dapat dipertahankan walaupun selepas EIS dilaksanakan kerana ETLB masih terus beroperasi,” katanya lapor The Edge.

Chek Lee berkata, EIS juga akan mewajibkan majikan dan pekerja menyumbang 0.25 peratus daripada gaji setiap bulan sebagai dana dengan anggaran RM734.4 juta dikutip setahun berdasarkan 6.8 juta pekerja tempatan.

KUALA LUMPUR 07 SEPTEMBER 2016. President of Master Builders Association Malaysia, Foo Chek Lee speaks during special interview at Desa Business Park. NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

Katanya, langkah itu jelas merugikan kerana anggaran kos operasi tahunan menguruskan EIS memerlukan jumlah besar iaitu kira-kira 25 peratus daripada jumlah kutipan tahunan skim terbabit.

“Unjuran kos ini disediakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) semasa perbincangan dengan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan pemegang kepentingan industri.

“KSM meramalkan bilangan pihak yang menuntut dalam tahun pertama operasi adalah antara 175,000 ke 215,000, sekali gus menyebabkan EIS bakal menghadapi masalah kewangan.

“Jika kewangan skim ini tidak berdaya maju, bagaimana ia boleh membiayai program dan latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan?” soalnya.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan skim yang dikhaskan untuk pekerja tempatan itu dapat memberi manfaat tambahan jika syarikat diisytiharkan bankrap dan tidak mampu membayar tunggakan gaji.

Skim itu dikatakan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6.5 juta pekerja membabitkan 430,000 majikan dengan jumlah caruman yang akan ditetapkan adalah minimum.