Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

24 April diumum cuti am tambahan

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Ali Hamsa KSNKetua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ia dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagaimanapun, katanya, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri itu diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

“Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Selasa, 13 Disember 2016 menggantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan baginda pada 12 Disember 2016.

“Sehubungan itu, kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15 akan mengadakan dua acara utama sempena pertabalan baginda.

“Istiadat Pertabalan akan diadakan pada pagi hari Isnin, 24 April ini bertempat di Balairung Seri, Istana Negara, manakala sebelah malam diadakan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, Istana Negara,” katanya lapor BHOnline dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua acara lain akan turut diadakan pada 20 April ini iaitu majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat bertempat di Masjid Putra, Putrajaya disusuli Pameran Raja Kita di Muzium Diraja (Istana Negara lama), pada 2 Mei ini.

-NFN-