Categories
NASIONAL

Bekas pemimpin MIC berdepan penjara 20 tahun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APRIL: Bekas pemimpin MIC bergelar Tan Sri direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu RM13 juta membabitkan kerja pemulihan sungai seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Penahan individu itu bersama enam yang lain dibuat Mahkamah Majistret Putrajaya selepas kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah jam 9.30 pagi tadi, lapor portal Malaysia Gazzete.

Perintah reman sehingga 11 April ini dibenarkan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.

Semalam, suspek yang berusia 63 tahun ditahan di kediamannya di Johor kerana didakwa mengemukakan invois pembayaran hampir RM13 juta bagi pembekalan 358 unit geotube sedangkan pembekalan dibuat hanya 89 unit bernilai kira-kira RM4 juta.

Enam individu lain turut ditahan kerana disyaki cuba bersubahat dengan suspek yang juga pemilik syarikat kontraktor membekal alat geotube bagi projek penyelenggaraan JPS.

Kesemua suspek berusia antara 33 dan 63 tahun ditahan di beberapa lokasi di Johor, Melaka dan Seremban.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-AA-