Categories
KENYATAAN MEDIA

Cipta pelbagai alasan, pekerja tempatan dipinggirkan

OLEH Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid

Saban tahun, bilangan pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia semakin hari semakin bertambah dan menguasai pasaran buruh. Jika dahulu kebanyakan mereka hanya ditempatkan di sektor perladangan dan pembinaan, kini mereka menguasai sektor perniagaan dan perkhidmatan.

Apabila berita mengenai 1.5 juta pekerja Bangladesh dikatakan akan dibawa masuk mendapat perhatian orang ramai pada awal tahun 2016, sudah tentu situasi panik dan marah wujud di kalangan golongan pekerja, bakal graduan dan rakyat biasa.

Itu tidak termasuk dengan isu yang mengatakan bahawa salah seorang ahli keluarga Menteri merupakan pemilik syarikat yang menyediakan perkhidmatan ‘levi’ dan pengurusan buruh asing.

Jika benar, maka dikatakan pembawakan masuk pekerja asing bukannya semata-mata dari pemintaan majikan, tetapi juga untuk keuntungan pihak yang mengambil kesempatan di atas kekuasaan politik.

Acapkali rakyat Malaysia dikatakan tidak berminat dalam sektor 3D (dirty, difficult & dangerous), malas mencari dan membuat kerja, serta ada yang mengatakan rakyat tempatan terlalu memilih kerja semata-mata ingin memperoleh pendapatan lumayan.

Hakikatnya, sesuatu yang perlu difahami adalah gaji asas untuk golongan pekerja adalah begitu sedikit, jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan kos sara hidup yang kian meningkat.

Boleh dikatakan perbelanjaan yang perlu ditanggung rakyat tempatan adalah lebih tinggi dari pekerja asing. Hal ini kerana rakyat tempatan memerlukan wang dan masa yang banyak untuk memastikan kebajikan dan sumber kewangan mereka terjamin.

Ini berbeza sekali dengan pekerja asing yang rata-ratanya datang ke Malaysia bersendirian walaupun sudah bekeluarga, mereka sanggup bekerja lebih lapan jam sehari dengan gaji yang sedikit, ditambah pula dengan tinggal dalam sebuah rumah yang dihuni secara beramai-ramai.

Perlu difahami bahawa situasi yang dihadapi oleh pekerja tempatan dan asing adalah berbeza.

Pada pemerhatian saya, masih ramai rakyat tempatan yang terlibat dalam industri yang mencabar, misalnya sektor minyak dan gas. Setiap hari, boleh dikatakan warganegara Malaysia mengharungi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura. Situasi ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukanlah golongan yang malas dan takut akan kerjaya berisiko.

Mereka hanya mencari pekerjaan yang setimpal dengan gaji mereka. Barangkali ada sebahagian penduduk tempatan yang pernah mencari kerja kosong, tetapi gagal disebabkan majikan cenderung memilih pekerja asing dengan kos lebih rendah.

Perspektif sesetengah majikan yang selalu mengatakan rakyat Malaysia malas perlu diubah. Malas merupakan sifat yang abstrak, yang wujud di semua negara tanpa mengira batasan bangsa mahupun agama.

Jangankan kerana majikan – majikan tersebut pernah bersemuka dengan pekerja tempatan yang malas, dituduh rakyat Malaysia sebagai golongan yang tidak sesuai bekerja dengan mereka. Akhirnya, terciptalah seribu satu alasan untuk menawarkan pekerjaan kepada warga asing.

Bagi saya, dengan pertambahan bilangan pengangguran rakyat tempatan yang kini mencecah 500 ribu orang, sudah sampai masanya untuk Kerajaan Umno BN bertegas dalam isu ini.

Saya mendesak pihak berkuasa terutamanya Jabatan Imigresen untuk bertindak membawa pulang pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah atau sudah tamat tempoh.

Tidak perlu lagi apa-apa program yang melibatkan pemutihan pekerja asing tanpa izin, sebaliknya pekerjaan tersebut digantikan oleh warga tempatan secara berkala.

Sekiranya pihak berkuasa masih tidak agresif dengan segera dalam hal ini, saya yakin kredibiliti mereka akan tercemar dengan tohmahan orang ramai yang menganggap wujudnya potensi rasuah sebagai faktor kegagalan pihak berkuasa membendung masalah ini.

Tambahan pula, sekiranya Kerajaan Umno BN masih gagal bertindak, maka spekulasi mengenai penglibatan warga asing sebagai pengundi hantu akan semakin bertambah.

Sudah tiba masanya untuk pengurangan pekerja asing dalam tenaga kerja, sebaliknya rakyat tempatan perlu diberi keutamaan dalam industri buruh.
Pada masa yang akan datang, saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan akan mengemukakan polisi-polisi yang terbaik bagi menyelesaikan isu yang semakin kritikal ini.

* Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti Keadilan Rakyat (PKR)