Categories
GLOBAL

Gabenor Alabama umum letak jawatan

MONTGOMERY, AMERIKA SYARIKAT: Gabenor Alabama, Robert Bentley, hari ini mengumumkan peletakan jawatan bagi mengelak berdepan pemecatan dan mengaku bersalah atas dua kesalahan melanggar etika kempen, ketika siasatan mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pembantu kanan.

Agensi Berita Antarabangsa AP melaporkan, anggota Republikan berusia 74 tahun yang dikenali kerana budi bahasanya itu meletak jawatan ketika skandal seksnya semakin memuncak sejak beberapa hari lalu.

Ahli perundangan meningkatkan tekanan dengan memulakan sesi keterangan pemecatan semalam.

Minggu lalu, Suruhanjaya Etika Alabama menunjukkan bukti Bentley melanggar etika dan undang-undang kempen dan merujuk kes kepada pendakwa raya.

“Saya mengecewakan penduduk dan saya minta maaf,” kata Bentley dalam Dewan Perwakilan di Alabama selepas mengaku bersalah. Kesalahan itu dibuat ketika siasatan mengenai hubungan sulitnya tetapi tidak berkaitan secara langsung dengan kes berkenaan.

Satu dakwaan terhadap Bentley berpunca daripada pinjaman AS$50,000 (RM221,000) yang dibuat bagi kempennya pada November tahun lalu yang gagal dilaporkan sehingga Januari lalu.

Dakwaan kedua membabitkan penggunaan dana kempennya untuk membayar hampir AS$9,000 (RM39,000) bil perundangan bagi pembantunya itu, Rebekah Mason, tahun lalu.

=EZY=