Categories
PBT SELANGOR

Jangan abai tanggungjawab

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 25 APRIL: Penduduk di Petaling Jaya disaran melaksanakan aktiviti kitar semula secara menyeluruh bagi merealisasikan hasrat bandar raya bersih.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, langkah itu bagi mengatasi peningkatan sisa sampah yang semakin ketara saban tahun.

Katanya, masyarakat juga perlu mengikis sikap mementingkan diri sendiri dengan beranggapan kontraktor dilantik sahaja ditugaskan untuk menguruskan sisa sampah.

“Isu sampah sebenarnya tidak pernah putus diperkatakan. Keperihatinan, sikap dan tanggungjawab rakyat Malaysia sangat perlu diperbaiki bagi mewujudkan suasana lestari demi kesejahteraan.

“Negara kita masih lagi berhadapan isu lama seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa pepejal secara haram dan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) yang masih rendah dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika Mesyuarat Bulanan MBPJ, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melupuskan 211,846.87 tan sampah dengan kos RM11.4 juta pada tahun lalu, sementara 57,403.06 tan sampah dilupuskan membabitkan kos RM3 juta, pada 2016.

DSC_2696Beliau berkata, setiap penduduk di negara ini menghasilkan sampah sarap domestik antara satu hingga dua kilogram sehari.

“Setiap individu perlu mengetahui cara mengurangkan sampah dengan melaksanakan aktiviti kitar semula.

“Tidak keterlaluan jika mewujudkan perubahan sikap menerusi kepimpinan teladan membabitkan ketua organisasi dalam program kebersihan harian,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu penurunan iklan haram, beliau berkata, sebanyak 26,344 unit gegantung, ‘banner’ dan poster diturunkan sehingga Mac lalu.