Categories
SELANGOR

Zon Selatan terima bantuan pendidikan RM7.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 25 APR: Zon Selatan Selangor menerima suntikan RM7.2 juta menerusi Bantuan Pendidikan Fasa 1 Tahun 2017.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bantuan infra itu diagihkan berdasarkan keperluan sekolah yang memohon dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini.

“Untuk Fasa 1 2017 sebanyak RM19,528,000 juta diagihkan kepada 578 sekolah di seluruh Selangor.

NIK NAZMI (1)“Memandangkan jumlah sekolah yang layak menerima bantuan agak besar, maka Jawatankuasa Tetap Pendidikan melaksanakan agihan kepada tiga zon membabitkan Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah,” katanya.

Menurutnya, konsep agihan itu dipilih bagi memastikan bantuan sampai kepada sasaran selain memudahkan rakyat menikmati sumbangan Kerajaan Negeri.

Beliau berharap bantuan diberikan itu digunakan sebaiknya serta menjadi permulaan kepada jalinan kerjasama lebih erat di antara sekolah dan Kerajaan Negeri.

Zon Selatan menggabungkan sekolah-sekolah di bawah DUN Kajang, Sijangkang, Telok Datok, Morib, Tanjung Sepat, Kuang, Rawang, Taman Templer, Dengkil dan Sungai Pelek.

Selain itu, ia turut melibatkan DUN Batu Caves, Gombak Setia, Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa, Lembah Jaya, Chempaka, Teratai, Dusun Tua, Semenyih,Bangi dan Balakong.