Categories
GLOBAL NASIONAL

Pembunuh Facebook tumpas

ERIE, PENNSYLVANIA, 20 APRIL: Suspek yang menembak mati seorang warga emas secara rawak dan menyiarkannya di Facebook membunuh diri di Pennsylvania selepas dikejar pegawai polis daerah itu, semalam.

Kejadian berlaku selepas orang awam mengenal pasti suspek terbabit, Steve Stephens dalam kereta Ford Fusion warna putih berhampiran kaunter pandu lalu McDonald’s sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Stephens dilapor melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar dengan polis di Pennsylvania.

Kenderaan suspek kemudiannya hilang kawalan dan Stephens didapati menarik pistol lalu menembak diri sendiri di kepala.

“Walaupun lega kes ini selesai tetapi kami tidak mahu ia berakhir begini kerana banyak soalan yang ingin ditanya kepada suspek,” kata Ketua Polis Cleveland, Calvin Williams.

Sejak dua hari lalu, pihak berkuasa di seluruh negara menggiatkan usaha mencari Stephens yang menyebabkan kematian Robert Godwin.

Godwin, 74, ditembak ketika berjalan pulang dari Cleveland dan video kematiannya disiarkan di Facebook.