Categories
NASIONAL

Siar program menghina, Watson Nyambek lapor polis

MIRI, 24 APRIL: Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek hari ini membuat laporan polis terhadap syarikat televisyen swasta kerana dikatakan menghina mendiang bapanya dalam sebuah rancangan.

Program bertajuk Sukan Tak Sentral itu diterbitkan Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) dan disiarkan TV3.

Watson, 41, tiba di pekarangan Balai Polis Pusat Miri pada jam 9.20 pagi ditemani isterinya, Felliza Michael Samdon bersama lebih 20 orang mewakili 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang kini menjadi jurulatih sukan sepenuh masa berkata, laporan itu dibuat untuk membolehkan siasatan dijalankan ke atas stesen televisyen, penerbit dan pengacara rancangan komedi itu.

“Perkara ini mengaibkan saya dan keluarga, maka tindakan tegas perlu diambil. Saya mahu polis siasat motif sebenar mereka bertindak demikian,” katanya lapor Malaysiakini.

Watson berkata, walaupun permohonan maaf dibuat secara terbuka, namun laporan polis tidak akan ditarik balik memandangkan kesalahan dilakukan pihak terbabit amat serius.

Katanya, beliau tetap akan meneruskan tindakan undang-undang dan tidak akan berunding walaupun pihak televisyen swasta berkenaan berhasrat untuk bersemuka dengannya di Miri.

Semalam, Watson meluahkan rasa kecewa serta berang selepas menonton rancangan terbabit di sebuah hotel di Sibuapabila seorang pengacara lelaki mengejek nama mendiang bapanya yang juga bekas anggota polis dengan bunyi binatang.