Categories
SELANGOR

Tiada halangan wujud Enakmen Ombudsman

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri tiada halangan mewujudkan Enakmen Ombudsman di Selangor, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Beliau berkata, terdapat usul diluluskan Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung perkara berkenaan sebelum ini.

Katanya, proses membawa Enakmen Ombudsman itu bagaimanapun dijangka memakan masa dengan melibatkan beberapa fasa dan peringkat.

ELI DNS“Buat sementara ini, fokus kita ialah menubuhkan dan memantapkan Unit Integriti di semua peringkat Kerajaan Negeri termasuk jabatan dan anak syarikat kerajaan (GLC),” katanya di DNS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berhubung kewujudan Enakmen Ombudsman di Selangor.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri juga sedang bekerjasama dengan jabatan dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menuju ke arah ‘Open Government’.

“Antara projek dan aplikasi dibangunkan ialah SISMAPS (Sistem Maklumat Perancangan Negeri Selangor) dan PLANSEL yang dibuka untuk maklumat dan tinjauan orang awam.

“Kedua aplikasi ini dibangunkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan merupakan aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia,” katanya.

-nR-