Categories
PBT SELANGOR

Warga asing sama-sama dipupuk kesedaran kebersihan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 APRIL: Keadaan persekitaran yang didiami oleh warga asing kotor dan busuk kini berubah wajah apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan mereka untuk sama-sama membersihkan lokasi sekitar.

Yang Di Pertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, antara lokasi yang kritikal mengalami masalah sampah ialah sekitar Indah Point, Pulau Indah.

Katanya, warga asing terbabit memberikan kerjasama baik semasa aktiviti pembersihan yang turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) dan Jabatan Penguatkuasa itu.

“Aktiviti yang diadakan ini lebih kepada memupuk kesedaran berkaitan kebersihan di kalangan warga asing kerana kawasan ini agak teruk.

“Mereka (warga asing) diingatkan tentang kebersihan dan saya berharap apa yang kita lakukan ini memberi kesan terhadap sikap, mentaliti dan tabiat mereka terhadap aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan.

Yasid berkata, keadaan yang sama turut berlaku di sekitar Meru apabila beliau sendiri mengarahkan warga asing membersihkan lokasi di situ memandangkan ia agak kotor ekoran sikap dan tabiat yang suka membuang sampah dari atas kediaman masing-masing.

Katanya, pemantauan terhadap lokasi kritikal yang menjadi kediaman warga asing sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga.

=EZY=