Categories
SUKANKINI

32 pasukan rebut Piala Dato’ Mokhtar Dahari

SUBANG JAYA, 3 MEI: Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang membuka tirai, pada 2 Mei lalu menyaksikan 32 pasukan bawah 18 tahun dari seluruh Selangor berentap merebut kejuaraan.

Kejohanan edisi keempat itu masih mengekalkan penglibatan sekolah seluruh negeri yang dipilih menerusi Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata, acara itu bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu pemain bola sepak remaja untuk diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dan Malaysia.

“Lebih membanggakan menerusi kejohanan tahun lalu, seramai 43 pemain diikat beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya Selangor, PKNS, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan”, katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Shashim Shah Harun dan turut disertai Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Mustaffa Kamil Ayub di padang SMK USJ 23, di sini.

Sementara itu, Perangsang Selangor dalam kenyataan berkata, perlawanan akhir kejohanan itu akan disaksikan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pada 20 Mei ini.

PIALA 1Kenyataan itu turut memaklumkan Perangsang Selangor sekali lagi muncul sebagai penaja utama dengan tajaan RM150,000 selain jersi untuk lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir.

“Hadiah menarik menanti empat pasukan terbaik kejohanan dengan johan akan menerima wang tunai RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan.

“Naib johan RM7,000 berserta pingat dan sijil, tempat ketiga RM5,000, manakala tempat keempat menerima RM3,000 berserta pingat dan sijil.

“Selain itu, terdapat juga anugerah lain iaitu Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak, Penjaga Gol Terbaik serta Pasukan Penyokong Terbaik,” katanya.

Turut dianjurkan, Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada jurulatih dan remaja berkenaan kerjaya sukan terbabit.

Sementara itu, ketika perlawanan pembuka tirai bagi merebut Piala Sumbangsih, juara bertahan SMK Tinggi Kajang berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, SMK Sri Permata dengan keputusan 1-0.