Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Jangan Huluq, Jangan Kawtim & Jangan Settle’, 2,000 pegawai SPRM turun padang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 MEI: Seramai 2,000 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digerakkan ke seluruh negara sepanjang bulan menerusi inisiatif baru Gerakan Anti Rasuah (GERAH).

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, inisiatif di peringkat nasional itu dilaksanakan secara agresif dengan memberi tumpuan terhadap aspek kesedaran budaya rasuah kepada masyarakat.

“Awal Mei lalu, SPRM melancarkan GERAH menerusi penglibatan hampir 2,000 pegawai yang akan turun padang ke seluruh negara bertemu masyarakat.

“Pengisiannya, pegawai-pegawai ini menyampaikan kesedaran kepada masyarakat untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Justeru, marilah kita bersama-sama membenci rasuah, menolak rasuah, lapor pemberian rasuah dengan cara kita menggerakan kempen 3 J iaitu, ‘Jangan Huluq, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’ supaya kita dapat membina masyarakat untuk bersama memerangi rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diketuai Dato’ Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Wan Ramli berkata, pelaksanaan kempen itu seiring komitmen Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang menuntut budaya rasuah diperangi bermula peringkat akar umbi hingga atasan.

Katanya, agenda itu diteruskan bagi menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi ‘digeruni perasuah, pada masa yang sama mesra rakyat’.

“Melalui strategi yang direncanakan ini, maka tindakan operasi serta penguatkuasaan memerangi rasuah ini dilipatgandakan dengan lebih agresif oleh SPRM.

“Kerancakan operasi penguatkuasaan dijalankan kini memaparkan hasil begitu luar biasa, positif dan membanggakan,” katanya.

Untuk rekod di peringkat nasional, SPRM kini bertindak keras dengan menahan beberapa individu dan pegawai tertinggi kerajaan membabitkan kes penyelewengan dana YAPEIM, isu hartanah Johor dan pengurusan jual beli tanah wakaf masjid.

=EZY=