Categories
SUKANKINI

Kelab Bola Sepak Remaja Shah Alam muncul juara

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 15 MEI: Kelab Bola Sepak Remaja Shah Alam muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala 9 Sebelah YB Amirudin Shari selepas menewaskan pasukan dari Sungai Terentang 2.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan kelab terbabit menerima wang tunai RM2,000 berserta piala pusingan, piala dan medal, manakala naib juara menerima RM1,000 serta medal.

Mula diperkenalkan pada 2015, kejohanan bola sepak yang sebelumnya dikenali sebagai Piala William Leong mempertaruhkan 20 pasukan.

Penyelaras DUN Kuang, Salasiah Disa berkata, kejohanan kali ini dijenamakan semula sempena inisiatif Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan membaik pulih padang perlawanan di Batu Arang.

Katanya, ia termasuk kerja meratakan padang, menanam rumput baru dan memasang pagar keliling.

“Selain itu, kita juga yakin aktiviti sebegini dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat terutama golongan belia dengan aktiviti bersukan.

“Ia sekali gus dapat mencungkil dan mengasah bakat permainan bola sepak dalam kalangan mereka dan boleh diketengahkan jika berpotensi ke arah itu,” katanya.

Kejohanan itu anjuran bersama Kelab Belia Batu Arang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selayang dengan kerjasama Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Selayang, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jawatankuasa Komuniti India Batu Arang dan JKKK Batu Arang.