Categories
PBT SELANGOR

Lima teras jayakan PJKITA

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 29 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan lima teras utama dalam pelaksanaan program PJKITA tahun ini dengan kerjasama empat syarikat berkepentingan menerusi memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai, baru-baru ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, lima prinsip itu adalah kesukarelawanan (volunteerism), jalinan kerjasama (engagement), perkongsian strategik (smart partnership), budaya dan gaya hidup (culture & lifestyle) serta digital fabrication.

“Melalui pelaksanaan teras ini, MBPJ memeterai satu MOU bersama empat ‘stakeholders’ iaitu Medan Prestasi Sdn Bhd yang merupakan sebuah anak syarikat Mk Lands Holding Berhad dan Kolej Perkembangan Awal Kanak-Kanak.

“Kita juga menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Social Enterprise Development Association (Mseda) dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 1 dalam membangunkan Urban Park 1 di Damansara Damai,” katanya.

Mohd Azizi berkata, wawasan MBPJ adalah menjadi bandar raya mampan dan berdayahuni dengan imej dan urus tadbir baik serta persekitaran selamat, harmoni juga sejahtera.

Katanya, pihak berkuasa tempatan itu turut menyediakan rangka kerja pembangunan mampan jangka masa panjang ‘Sustainable Petaling Jaya 2030’ dengan menetapkan lima hala tuju utama iaitu ‘alam sekitar’, ‘ekonomi berdaya saing’, ‘budaya dan komuniti’, ‘habitat berdayahuni’ dan ‘urus tadbir baik’.

azizi-mbpj“Kita juga akan melaksanakan beberapa projek utama antaranya projek Taman Komuniti yang dirancang di bawah segmen #Pjkitapark.

“MBPJ turut bercadang mewujudkan beberapa Taman Tema PJKITA (Series Of PJKITA Park) yang mempunyai ciri keunikan dan identiti tersendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, PJKITA i-Play Park pula berkonsepkan ‘outdoor classroom’ yang membolehkan golongan muda menikmati keseronokan bermain sambil belajar menjurus kepada teknologi, alam sekitar, kesenian dan kebudayaan.

Mohd Azizi berkata, konsep dan pendekatan sama turut digunapakai bagi pembangunan PJKITA Park kedua di PJS 6/3b, Kampung Lindungan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan penduduk setempat.

“Ia mengandungi lima segmen utama iaitu i-Think, i-Grow, i-Fun, i-Ranger dan i-Green yang merupakan
idea dan kehendak kanak-kanak setempat.

“Justeru, masyarakat Damansara Damai perlu merasai ‘wwnership’ dan ‘self-belonging’ terhadap taman itu,” katanya.