Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Awas guna telefon bimbit

SHAH ALAM, 29 MEI: Aspek keselamatan dalam penggunaan telefon bimbit perlu dititik beratkan pengguna supaya insiden dikaitkan dengan alat itu tidak berulang.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, pengguna perlu mengelak daripada menggunakan telefon ketika di stesen minyak atau ketika sedang mengecas.

“Selain memastikan pengecas dan bateri telefon bimbit adalah tulen, tindakan mematikannya ketika dicas juga boleh merehatkan alat itu buat sementara.

“Ekoran fungsi telefon bimbit tidak lagi menjadi alat perhubungan semata-mata sebaliknya digunakan untuk menonton filem, bermain ‘game’ dan melayari laman sosial, pengguna perlu berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan ‘power bank’ di Melaka, pada Jumaat lalu.

Terdahulu, mangsa dilaporkan ditemui mati oleh ibunya dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon bimbitnya yang bercas pada power bank.

Sementara itu, pada 25 Ogos tahun lalu, seorang jurukamera melecur di paha kiri apabila power bank yang diletakkan di dalam begnya secara tiba-tiba terbakar ketika membuat tugasan di ibu negara.

Seorang pemandu bot berusia 27 tahun pula, dilaporkan cedera pada tangan dan muka selepas telefon bimbit miliknya yang sedang dicas tiba-tiba meletup pada 23 April 2016 dalam kejadian di Yan, Kedah.