Categories
GLOBAL

Penyelidik dakwa Korea Utara suspek serangan siber ransomware

WASHINGTON 16 MEI: Penyelidik keselamatan siber mendakwa menemui beberapa petunjuk yang boleh mengaitkan Korea Utara dengan serangan ransomware global yang menjejaskan 300,000 sistem di 150 negara sejak Jumaat.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan pengeluar perisian, Symantec dan Kaspersky Lab berkata, beberapa kod versi perisian WannaCry juga muncul dalam program yang digunakan oleh firma Kumpulan Lazarus, yang dikenal pasti sebagai operasi penggodam dari Korea Utara.

“Ia adalah petunjuk terbaik setakat ini mengenai asal usul virus WannaCry,” kata penyelidik Kaspersky Lab, Kurt Baumgartner.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menuduh Pyongyang terbabit dengan serangan itu.

Penyelidikan syarikat siber akan dipantau agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia, termasuk Washington, yang mana Penasihat keselamatan Amerika Syarikat (AS) berkata negara asing dan penjenayah siber mungkin terbabit.

Menurut Symantec dan Kaspersky Lab, mereka perlu membuat kajian teliti ke atas kod berkenaan dan memerlukan bantuan untuk analisis kerana penggodam mungkin menggunakan semula kod dari operasi lain.

Pegawai keselamatan AS dan Eropah berkata, masih terlalu awal untuk menuduh siapa yang bertanggungjawab dalang serangan itu, tetapi tidak menolak kemungkinan Korea Utara sebagai suspek.

=EZY=