Categories
NASIONAL

Suami isteri disyaki terlibat rasuah ditahan SPRM

SHAH ALAM, 4 MEI: Pengurus besar anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) iaitu projek Technical Support Rapid Cheras Selatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahguna kedudukan dan menerima rasuah untuk kepentingan diri.

SPRM dalam kenyataan berkata, suspek berumur 54 tahun itu ditahan bersama isterinya, 50, pada jam 6.30 petang semalam.

Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki menerima rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti dan pembaikan bas.

Suspek juga dipercayai menerima rasuah RM500,000 sejak 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan atas penyeliaannya.

Selain itu, katanya, wang rasuah diterima dipercayai turut dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak 2013.

Kes disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika disabitkan kesalahan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kedua-duanya akan direman, hari ini bagi membantu siasatan.

*Sumber: BERNAMA