Categories
PBT SELANGOR

Tinggalkan bukti, kontraktor buang sampah haram ‘kantoi’

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 17 MEI: Sebuah syarikat kontraktor binaan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila kegiatannya membuang sampah sisa bahan binaan haram berjaya dikesan.

Ahli Majlis Seksyen 10 Petaling Jaya, Derek Fernandez berkata, kegiatan kontraktor terbabit itu berjaya dikesan apabila sekumpulan penduduk menemui peta dan beberapa dokumen yang mengandungi alamat sebuah syarikat yang terletak di KL Sentral.

“Pada 15 Mei saya terima aduan persatuan penduduk Seksyen 10 terdapat pembuangan sampah haram berhampiran Restoran Ipoh Chicken Rice di Jalan Gasing yang juga berhampiran kawasan meletak kenderaan MBPJ.

“Berbanyak terima kasih kepada penduduk yang bertindak bijak menyelidik sampah itu sehingga terjumpa peta dan beberapa dokumen sebuah syarikat beralamat di KL Sentral, Kuala Lumpur sehingga membolehkan saya mengesan kontraktor berkenaan,” katanya pada sidang medianya di kawasan meletak kenderaan MBPJ di sini, hari ini.

Jelasnya, MBPJ kemudiannya menghubungi pihak pengurusan bangunan KL Sentral sebelum memberi maklumat syarikat kontraktor yang menjalankan kerja pengubahsuaian di unit terbabit.

“Kami berterima kasih kepada pihak pengurusan bangunan yang memberikan nama penyewa sebelum penyewa itu memberi nama kontraktor terlibat.

“Selain dikompaun kontraktor itu juga diambil tindakan lain selain diarahkan membersihkan semula sisa binaan yang mereka buang,” katanya lagi.

Derek turut menggesa orang ramai supaya tidak tertipu terhadap penipuan sesetengah kontraktor yang mengenakan caj pembuangan sisa binaan tetapi pada masa sama membuang sampah di tempat tidak dibenarkan.

Beliau turut mencadangkan supaya Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) membatalkan lesen syarikat yang terlibat dengan kegiatan pembuangan sampah haram.

=EZY=