Categories
SELANGOR

Tingkat kemudahan asas Batu Arang

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 15 MEI: Kerajaan Negeri, agensi kerajaan dan pihak berkuasa diharap tidak meminggirkan Pekan Batu Arang yang menerima gelaran Bandar Warisan 100 tahun.

Setiausaha Jawatankuasa Kesejahteraan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Nor Azmy Abdul Aziz berkata, pekan bekas lombong arang batu itu berpotensi menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, bagaimanapun, kekurangan kemudahan asas dan prasarana menjadi kekangan utama ia berkembang sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

“Antara maklum balas diterima daripada pelancong termasuk ketiadaan tandas awam, iaitu kemudahan paling asas, menjadikan mereka kurang selesa berada lama di sini.

“Begitu juga dengan kekurangan gerai dan kedai makan serta ‘homestay’ yang merupakan elemen penting menarik perhatian pelancong,” katanya kepada SelangorKini.

Nor Azmy berkata, Batu Arang kini menjadi tumpuan kepada acara larian dan berbasikal peringkat antarabangsa.

“Kita menjadi lokasi pilihan tiga tahun berturut-turut kepada Deuter International Run selain acara berbasikal MTB (Mountain Bike).

“Saya yakin kita mampu menjadi pilihan kepada lebih ramai pelancong dan acara besar jika kemudahan asas dan prasarana disediakan,” katanya.

Dihuni lebih 13,000 penduduk, Batu Arang dilengkapi Balai Polis, Balai Bomba, Pejabat Pos, Klinik Kesihatan, sekolah, bangunan kedai, padang, tasik dan rumah ibadat.

Pada 2011, Batu Arang meraikan ulang tahun ke-100 menerusi karnival besar-besaran selama tiga hari.