Categories
SELANGOR

Zakat fitrah Selangor kekal RM7

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Kadar zakat fitrah yang dikenakan kepada umat Islam di Selangor, pada tahun ini kekal RM7, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali.

Katanya, untuk memastikan kutipan zakat berjalan lancar, LZS melantik 2,600 ketua dan penolong amil fitrah negeri, sepanjang Ramadan ini.

Beliau turut menyasarkan kutipan zakat fitrah RM22.5 juta daripada umat Islam di negeri itu.

“Tahun lalu, kita kutip RM22.2 juta zakat fitrah dan yakin sasaran itu dapat dicapai,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Kasihku Zakat Selangor di Hotel Blue Wave, di sini.

LZS membuka 28 cawangannya di seluruh negeri, tujuh hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang untuk hari bekerja dan dari jam 9 pagi hingga 3 petang untuk hari Sabtu, Ahad serta cuti umum.

Pada masa sama, Hussin turut mengalukan pembayaran zakat fitrah menerusi dalam talian bagi memudahkan pembayar zakat yang sibuk dengan urusan harian.

“Kita juga menyarankan pembayar dapat menunaikan zakat di awal Ramadan bagi mengelakkan kesesakan dan orang ramai diminta berbuat demikian dengan amil dilantik serta bertauliah,” katanya.