Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor ganti paip usang di DUN Bukit Gasing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan program penggantian paip usang di Seksyen 5 Bukit Gasing, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, projek di bawah Kerajaan Negeri itu dilaksanakan sebagai inisiatif mengatasi masalah gangguan air ekoran paip pecah.

Katanya, kerja penggantian paip sepanjang tujuh kilometer itu menelan kos RM6 juta dan dijangka siap menjelang Jun tahun depan.

“Paip jenis ‘Ductile Iron’ yang mempunyai ketahanan lebih baik dengan diameter 150 milimeter digunakan menggantikan paip lama yang digunakan di kawasan ini sejak 50 tahun lalu.

“Projek gantian paip ini tentunya bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya warga Bukit Gasing yang sebelum ini terkesan ekoran paip pecah di kawasan perumahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan pemantauan projek gantian di tapak lokasi di sini, pagi ini.

IMG_20170614_105413Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan projek berkenaan dijalankan mengikut ketetapan waktu dan piawaian ditetapkan Kerajaan Negeri.

Katanya, pembaikan projek itu turut dimaklumkan kepada penduduk setempat menerusi sesi dialog yang dianjurkan pada Februari lalu.

“Kami menerima maklum balas positif, malah mencapai persetujuan bersama bahawa projek ini dijalankan hanya pada waktu ‘pejabat’ sahaja.

“Kontraktor tidak dibenar menjalankan kerja gantian pada hujung minggu atau waktu malam,” katanya.

Difahamkan, kawasan perumahan di Seksyen 17 Bukit Gasing turut terlibat di bawah projek berkenaan dengan pembaikan infrastruktur diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Air Selangor melaksanakan program gantian paip usang di 84 lokasi seluruh negeri yang mula dilaksanakan sejak awal Mac lalu.