Categories
KENYATAAN MEDIA

Cukai pelancongan: Sabah dan Sarawak berhak tidak setuju

OLEH HASANUDDIN MOHD YUNUS

Respon balas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan terhadap tindakan sesetengah kepimpinan negeri adalah sangat tidak profesional, seharusnya beliau perlu hadapi dengan lebih berdiplomasi. Penggunaan bahasa untuk merendah-rendahkan orang lain perlu dihentikan, bukan anda sehaja yang tahu berkenaan hal pelancongan.

Malah perkara ini menunjukkan kedangkalan Menteri-Menteri BN dalam kabinet.

Tindakan memperlekehkan negeri Sarawak dan Sabah langsung tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri. Ini kerana, Sabah dan Sarawak sangat berharap kepada industri pelancongan dalam memperkasakan pertumbuhan ekonomi, maka tindakan untuk tidak bersetuju adalah tepat.

Selain daripada itu, Sabah dan Sarawak masih lagi dibelenggu dengan sistem cukai kabotaj, walaupun telah dicanang untuk dihapuskan. Cukai ini masih dilaksana dan menurut kerajaan, cukai ini hanya akan dihapuskan untuk sementara. Cukuplah rakyat Sarawak dan Sabah terbeban dengan kos sara hidup kini.

Disamping itu, saya mengucapkan tahniah kepada ‘hero’ yang tidak didendang khususnya 8 ahli parlimen Pakatan Harapan dan Warisan yang bersungguh-sungguh berbahas dan membantah sehingga pukul 5 pagi akan RUU Cukai Pelancongan sewaktu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Saya percaya perlaksanaan cukai ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pendapatan negara sehingga RM654 juta setiap tahun. Ia wajar dikongsikan kepada Sabah dan Sarawak.

Malah rakyat sentiasa bertanya cukai-cukai lain, mencecah berbillion ringgit yang banyak dikenakan kepada mereka, ke manakah wang itu telah diagihkan?

Kebocoran tabung negara telah menatijahkan kerajaan sentiasa dahaga untuk mengutip cukai-cukai baharu.

Oleh, itu tindakan kerajaan dan menteri perlu melihat kepada orang ramai yakni rakyat dan menyemak semula kebocoran kewangan negara sebelum mendera rakyat. Jangan rasa diri itu dah bagus, sehingga tergamak untuk merendah-rendahkan orang lain.

*Hasanuddin Mohd Yunus adalah Naib Presiden AMANAH