Categories
KENYATAAN MEDIA

Berapa ramai lagi PATI dapat kad UNHCR palsu?

OLEH SANDREA NG

Saya ingin meluahkan rasa bimbang mengenai ramai pelarian Rohingya menggunakan khidmat ‘orang tengah’ bagi mendapatkan kad identiti rasmi daripada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seperti yang dilaporkan.

Mereka dikatakan bertindak demikian kerana prosiding untuk mendapatkan kad tersebut terlalu lama sehinggga lima tahun,malah tidak kisah membayar sejumlah wang lebih kurang RM2500 kepada agen tersebut.

Perkara sebegini yang menyebabkan peningkatan jumlah pelarian saban tahun. Berdasarkan statistik, seramai 150,600 pelarian telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia pada akhir April tahun ini, berbanding akhir tahun lalu dengan jumlah pelarian 149,500.

Saya juga ingin bertanya berapa ramai dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini ada memegang kad UNHCR palsu ini?

Saya yakin bukan hanya pelarian sahaja yang memohon tetapi pendatang tanpa izin seperti dari Bangladesh juga pasti mengambil kesempatan diatas suaka ini.

Walaupun UNHCR menafikan ada pihak ketiga yang dikatakan terlibat mempercepatkan pengurusan kad itu, namun pengkaji etnik Rohingya di Institut Asia Eropah dari Universiti Malaya, Azlinariah Abdullah sendiri tidak menolak dakwaan wujud ‘orang tengah’ itu kerana ada pengakuan daripada pelarian Rohingya sendiri.

Prosiding yang terlalu lama sebegini telah menyebabkan secara tidak langsung gejala ‘rasuah’ berlaku. Saya khuatir kemunculan kad palsu ini akan menimbulkan risiko negara diporak-perandakan oleh sindiket jenayah dan pedagang pemerdagangan manusia.

Perkara ini perlu perhatian yang serius oleh pihak berkuasa kerana sekiranya tidak bertindak segera, pelbagai masalah lagi yang akan timbul di masa akan datang dan memberi kesan kepada rakyat juga negara.

*Sandrea Ng adalah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Perak