Categories
SELANGOR

Contohi IPR bukan cadang rakyat buat dua kerja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi langkah Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi meringankan beban rakyat bukan mencadangkan mereka melakukan dua pekerjaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan supaya rakyat Malaysia melakukan lebih dari satu pekerjaan yang disokong Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan melalui ‘tweet’ beliau boleh meruntuhkan institusi keluarga.

“Jika bapa atau ibu terpaksa melakukan kerja kedua dan masa bersama anak semakin berkurangan, maka kemungkinan hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang.

“Akibatnya, anak akan kurang menerima kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada ibu bapa. Maka, anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan atau pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kekosongan yang dirasakan mereka,” katanya.

iskandar01Katanya, tindakan ibu bapa yang terpaksa melakukan dua pekerjaan boleh mendorong anak memberontak untuk mendapatkan perhatian dan jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh mewujudkan gejala sosial.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup selain kejatuhan nilai ringgit.

Antara usaha Kerajaan Selangor membantu rakyat adalah dengan mengecualikan cukai pintu untuk rumah kos rendah dan memperkenalkan skim rawatan kesihatan percuma Peduli Sihat.