Categories
NASIONAL

Jangan pinggir kebajikan pekerja swasta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu berlaku adil terhadap majikan dan pekerja swasta serta memberi galakan juga insentif kepada sektor berkenaan menubuhkan kesatuan sekerja.

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan adalah majikan penjawat awam, namun pengasingan tugas jelas antara kerajaan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, jawatankuasa tri-parti juga perlu diwujudkan dengan dianggotai Kerajaan Persekutuan, Kumpulan Majikan (termasuk SPA) dan Kesatuan Sekerja pada peringkat nasional.

“Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan mewujudkan keadaan menang-menang terhadap kedua pihak dengan memberi tumpuan kepada pelarasan gaji minima, kebajikan pekerja dan peningkatan produktiviti.

“Komitmen masyarakat memainkan peranan untuk berpatisipasi dan aktif dalam menuntut hak kebajikan pekerja sebagai balasan sumbangan tenaga serta produktiviti kepada entiti korporat.

“Malangnya, suasana ini dilihat tidak mungkin berlaku dalam pentadbiran Umno-BN yang tidak mahu kehilangan pengaruh korporat bagi membantu mereka dalam kempen pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

abdullah saniAbdullah Sani berkata, terdapat banyak bukti menunjukkan kebajikan pekerja swasta di Malaysia tidak dijaga dengan baik terutama oleh Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, pecahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan 34.8 peratus sahaja hasil dikongsi golongan pekerja dan selebihnya dimiliki kumpulan korporat dan kerajaan.

Katanya, bukti lain termasuk kekurangan usaha kerajaan menggesa penguatkuasaan gaji minimum yang setimpal dengan kos sara hidup kerana gaji minimum RM1,000 sebulan tidak relevan terutama di ibu kota.

“Kerajaan juga membawa masuk pekerja asing secara besar-besaran dan gagal membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sistem pendidikan yang kucar-kacir dan tidak relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa selain polisi pencukaian kerajaan Umno-BN yang membebankan.

“Hanya lapan peratus daripada keseluruhan pekerja di negara kita bernaung dengan mana-mana kesatuan sekerja, menyebabkan kebajikan pekerja kurang diambil berat,” katanya.