Categories
KENYATAAN MEDIA

Kebanjiran pengundi import dan tentera, BN terdesak?

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Saya mengambil serius isu kebanjiran pengundi luar atau pengundi import khususnya di kawasan Segamat, Johor.

Terdapat dakwaan bahawa satu Depot Pangkalan Peluru kini dalam proses pembinaan di Segamat. Hal ini memungkinkan pertambahan 1500 sehingga 2000 pengundi tentera baru.

Saya difahamkan bahawa tentera ini hanya tinggal di dalam khemah sebagai penempatan sementara buat masa ini sementara menanti kem baru yang dalam proses pembinaan siap sepenuhnya.

Saya inginkan pengesahan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), adakah nama anggota-anggota yang di tempatkan di depot tersebut hanya akan dimasukkan sebelum atau selepas kem tersebut siap sepenuhnya?

Andaikata nama anggota tentera telah dimasukkan sebagai pengundi di Parlimen Segamat, ianya harus dikeluarkan daripada warta pengundi baru.

Datuk Seri Dr SantharaTindakan SPR untuk tidak membekalkan salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) sukuan pertama terhadap mana-mana parti politik telah menimbulkan keraguan dan kepercayaan saya terhadap SPR.

Malah terdapat juga dakwaan bahawa bahagian-bahagian MIC di Johor (kawasan MIC tidak bertanding) diarahkan untuk menukar alamat dan tempat mengundi ke Segamat. Dikatakan juga mereka ini dibayar sebanyak RM100 sehingga RM500 setiap seorang untuk menukar alamat.

Adakah perpindahan kawasan mengundi mereka ini satu taktik yang akan menguntungkan BN?

KEADILAN Johor turut membantah terhadap ahli MIC di mana alamat rumah mereka di Taman Astaka Jaya dan Taman Yayasan terdapat seramai 42 pengundi pada dua alamat dan bantahan daripada kami telah diterima yang akhirnya 40 pengundi telah dikeluarkan.

Saya menuntut Pengerusi MIC, Datuk Seri Dr. Subramaniam selaku Ahli Parlimen Segamat untuk menjawab dakwaan ini jika benar. Saya berharap beliau akan bersikap profesional dan telus dalam menjawab isu ini.

Kita bangsa Johor inginkan ketelusan dalam sistem pilihan raya di negara ini untuk melihat Malaysia menjadi lebih baik daripada sekarang.

*Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN