Categories
NASIONAL

Lebih 23,000 warga asing, PATI diusir sehingga Mei

PUTRAJAYA, 1 JUN: Lebih 23,000 warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan diusir ke negara asal dalam tempoh 1 Januari hingga 29 Mei tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bilangan itu termasuk banduan asing yang tamat menjalani hukuman penjara atas kesalahan dilakukan.

Katanya, daripada jumlah itu, warga Indonesia dan Bangladesh adalah yang tertinggi diusir iaitu masing-masing 6,849 orang dan 4,020 orang.

“Dalam hal undang-undang, kami bertegas tanpa mengira kecil atau besar kesalahan dilakukan.

“Ia termasuk kesalahan ‘paling ringan’ seperti melanggar syarat pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga melakukan perbuatan jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa serta tindakan pihak polis seperti meragut, menculik atau membunuh,” katanya lapor BERNAMA.

Mustafar berkata, kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan rumah urut juga antara kes jenayah tertinggi membabitkan warga asing.

Beliau berkata, kebanyakan kegiatan tidak bermoral itu berlindung di sebalik perniagaan spa dan refleksologi.

“Kami secara berterusan melakukan operasi pembanterasan kerana penglibatan PATI dalam kegiatan tidak bermoral adalah tidak dibenarkan di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Imigresen dan MCPF akan menjalin kerjasama strategik dala usaha mengenal pasti langkah terbaik untuk menangani masalah jenayah berkaitan warga asing.