Categories
SELANGOR

Mangsa kebakaran Kampung Sungai Udang terima sumbangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Klang sedang menguruskan bantuan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sungai Udang, baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan terbabit dijangka akan diberikan secepat mungkin.

“Kerajaan Negeri berharap mangsa yang terbabit bersabar dan dapat menempuh dugaan ini,” katanya dalam lawatannya di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, pada 17 Jun lalu.

Daroyah turut menyampaikan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali.

IMG_4629Pada 15 Jun lalu, kira-kira 50 penghuni rumah setinggan di kampung terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Raja, Zul Alim Mahful berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.32 petang dan tujuh jentera bersama 33 anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Api marak dengan pantas kerana struktur rumah setinggan berkenaan yang dibina menggunakan kayu selain kedudukannya yang agak rapat antara satu sama lain. Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.49 petang dan 10 rumah musnah dalam kebakaran itu,” katanya.

Zul Alim berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.