Categories
PBT SELANGOR

MPKj sedia khidmat lupus barang mangsa banjir

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan khidmat pelupusan barang mangsa yang musnah dan rosak ekoran insiden banjir di Hulu Langat, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya bersama pertubuhan badan bukan kerajaan kini giat melaksanakan kerja pembersihan di beberapa premis termasuk sekolah.

Katanya, seramai 48 anggota dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPKj serta Skuad Pantas turun ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.

“Operasi pembersihan masih diteruskan hingga kini dan MPKj turut menyediakan perkhidmatan pelupusan barang yang sudah rosak ekoran banjir,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas kejadian banjir di kawasan terbabit, Mohd Sayuthi berkata, ia berpunca daripada pelbagai faktor antaranya taburan hujan luar biasa.

MPKJ_SAYUTINamun, katanya, pembuangan sampah tidak terkawal dalam kalangan masyarakat juga menyumbang kepada insiden berkenaan.

“Masyarakat harus mengubah sikap untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai atau longkang kerana apabila hujan lebat, air akan menolak sampah itu ke satu sudut, sekali gus tidak mampu mengalir dan terjadinya banjir,” katanya.