Categories
NASIONAL

Nahas Jempol: Pemandu treler direman empat hari

BAHAU, 12 JUN: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan meragut lapan nyawa di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, petang semalam, ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, selepas Pegawai Penyiasat Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Inspektor Nurul Hafiza Mohd Marsah membuat permohonan di Mahkamah Majistret, di sini, lapor BH Online.

Lelaki terbabit yang memakai baju lokap tiba di Mahkamah Majistret, pada jam 9.10 pagi dengan trak polis bersama tahanan lain.

Tahanan reman itu membolehkan polis menyiasat lelaki itu mengikut Seksyen­ 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang semalam, treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain iaitu Perodua Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan lima penumpang Proton Exora serta pemandu juga penumpang Perodua Myvi, terkorban.