Categories
NASIONAL

Najib dan Shafee digesa jawab isu RM9.5 juta

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelaskan isu pindahan RM9.5 juta ke akaun peribadi pendakwaraya khas kes Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah dalam kes fitnah II seperti didakwa Sarawak Report.

Ketua Angkata Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendedahan terbaru itu memberi kejutan besar kepada negara ekoran Najib didakwa memindahkan wang kepada akaun Shafee melalui dua bayaran, termasuk satu bayaran dilakukan dua minggu sebelum Anwar didapati bersalah.

Katanya, duit berkenaan dipindahkan daripada akaun AmBank persendirian Najib, iaitu akaun sama yang diberikan dana oleh anak syarikat 1MDB, SRC International yang juga meminjam wang daripada Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP).

“Shafee sangat dikenali sebagai seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor, malah perlantikan beliau sebagai pendakwaraya kes fitnah II Anwar menjadi tanda tanya.

“Ini kerana kerajaan memutuskan untuk melantik seoarang peguambela sebagai pendakwaraya khas sedangkan Shafee juga diketahui ramai seakan-akan mempunyai agenda tersendiri terhadap Anwar dengan berulang kali membuat kenyataan menghina, mengutuk serta memfitnah Ketua KEADILAN itu.

“Bukan itu sahaja, Shafee juga dilaporkan berada di kediaman Najib ketika Saiful Bukhari bertemu Perdana Menteri untuk membuat “aduan” terhadap Anwar,” katanya dalam kenyataan.

NIK-NAZMiNik Nazmi berkata, Shafee turut meneruskan penjelajahan untuk menerangkan kes sodomi dengan membuat fitnah baru terhadap Anwar yang langsung tidak dibangkitkan di dalam mahkamah.

Katanya, perbuatan jahat memburukkan Anwar bukan sahaja menghina mahkamah, malah ia jelas menunjukkan niat peguam terbabit menjatuhkan bekas ketua pembangkang itu bagi pihak Najib.

“Dengan pendedahan Sarawak Report ini, jelas terdapat urusan mencurigakan antara Najib dan Shafee serta perlantikan beliau sebagai pendakwaraya khas hanyalah bermotifkan politik.

“Jika tidak, mengapa Perdana Menteri perlu pindahkan wang dengan jumlah begitu besar kepada akaun peguam itu?

“Saya menggesa Najib dan Shafee menjelaskan perkara ini dengan jujur termasuk Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan tindakan yang akan diambil,” katanya.