Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor santuni 38 asnaf sempena Ramadan

SHAH ALAM, 20 JUN: Seramai 38 asnaf fisabilillah dan fakir menerima sumbangan zakat RM83,672.92 daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dan anak syarikatnya sempena Ramadan kali ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Suzila Khairuddin berkata, bantuan itu diberikan kepada 30 pelajar universiti kurang berkemampuan dan lapan asnaf fakir termasuk ibu tunggal.

“Tahun lalu, Perangsang Selangor menjelaskan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM686,861.13, manakala siri ketiga tahun ini membabitkan RM257,572.92.

“Selain menampung kos pembelajaran pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban serta membantu mereka menjalani ibadah puasa juga Syawal,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, 85 golongan asnaf menerima bantuan zakat RM207,572.92 dari tiga siri program agihan zakat yang dianjurkan Perangsang Selangor sejak Januari lalu.

Sementara itu, ketika Majlis Iftar dan Bayaran Zakat Perniagaan 2017 anjuran LZS di Wisma PKPS Shah Alam, baru-baru ini, Perangsang Selangor turut menjelaskan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM150,000.

Perangsang Selangor yang ditubuhkan pada 11 Ogos 1975 adalah syarikat pelaburan terlibat dalam enam sektor utama iaitu pembuatan, perdagangan, pelesenan, infrastruktur dan utiliti, minyak dan gas serta telekomunikasi.

PERANGSANG 2