Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS serah sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 17 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukan RM216,000 sebagai sumbangan Aidilfitri kepada 2,166 anak yatim di daerah Gombak dan Hulu Langat.

Pengerusi YIDE, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, bantuan sama turut disumbangkan kepada lapan daerah lain di seluruh Selangor.

“Setiap sumbangan yang diberikan kepada anak yatim adalah hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan individu yang prihatin berkenaan kebajikan anak yatim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dalam majlis yang berlangsung di Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Sumbangan terbabit disampaikan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada masa sama, Mohamad Adzib berkata, YIDE menganggarkan RM25,000 akan dibelanjakan bagi tujuan pembelajaran untuk anak yatim di Selangor yang berdaftar dengan yayasan berkenaan.

IMG_7613Katanya, YIDE juga berperanan menyalurkan sumbangan kecemasan tambahan kepada mangsa musibah atau malapetaka menerusi pemberian kit barangan asas keperluan harian, wang tunai selain menjalankan operasi dialisis di enam daerah terpilih.

“Antaranya Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) cawangan Bukit Jelutong, Sungai Besar, Kuala Selangor, Taman Melawati, Kapar dan Shah Alam,” katanya.

Dalam majlis sama, YIDE turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan Al-Baghdadi bagi menjalankan Bengkel Hafazan Anak Yatim secara percuma.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim; Setiausaha MAIS, Dato’ Bahtiar Husin dan Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh.