Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor rasmi masjid, serah sumbangan Aidilfitri

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 17 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Baitul-Amin, Pusat Bandar Puchong, di sini, hari ini.

Baginda menyempurnakannya ketika berangkat mencemar duli ke majlis berbuka puasa bersama rakyat serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada fakir, miskin dan mualaf di masjid berkenaan.

“Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan masjid ini dengan nama Masjid Baitul-Amin,” titah baginda.

Dalam majlis itu, seramai 265 fakir dan miskin serta 142 mualaf menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM203,500 daripada Sultan Selangor, dengan setiap seorang mendapat RM500.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Seri Mohamad Adzib Mohd Isa.

Majlis juga disertai Mufti Selangor, Dato’ Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim; Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Mohd Misri Idris serta hadirin lain.

Masjid Baitul-Amin dibina dengan kos RM3 juta, pada 25 Mac 2007 di kawasan seluas dua hektar di atas sebuah bukit di Taman Wawasan Pusat Bandar Puchong, di sini.

Ia siap sepenuhnya pada 27 Februari 2009 dan mula digunakan pada April tahun sama hingga kini dan dirancakkan menerusi pelbagai program.

Reka bentuk masjid itu diilhamkan dari sebuah masjid di Jordan.

IMG_7703 (1)

IMG_7694