Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL lancar kampus baru di Bangladesh Ogos ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) akan melancarkan kampus barunya di Dhaka, Bangladesh pada Ogos ini dengan pembukaannya bermula September depan.

Timbalan Naib Canselor Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri UNISEL, Profesor Dr Mokhtar Abdullah berkata, operasinya dijangka bakal memberi peluang kepada lanjutan perkembangan pendidikan serantau institusi milik Kerajaan Negeri itu.

Katanya, UNISEL menerima jemputan Institute Of Learning (INSIGHT) untuk membuka pusat pengajian di sana bagi memberi peluang kepada anak tempatan di negara itu melanjutkan penganjian.

“Untuk rekod, pelajar Bangladesh yang tamat pengajian di sekolah tinggi adalah sekitar 700,000 dan atas keperluan mendesak ini menuntut penambahan operasi pusat pendidikan di sana.

“Justeru, mereka memilih UNISEL dan tentunya keyakinan ini didorong komitmen tinggi pentadbiran universiti terbabit sebagai institusi pendidikan yang didukung sepenuhnya Kerajaan Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, lebih 95 peratus proses pembangunan universiti terbabit sudah disiapkan dengan proses penambahbaikan akhir selesai sebelum Ogos ini.

Katanya, seramai 500 pelajar baru dijangka mendaftar pada penggal pertama pembukaan operasi UNISEL.

“Kita masih belum bercadang menempatkan pelajar Malaysia khususnya anak Selangor di kampus baru ini tetapi wujud perancangan untuk diadakan beberapa program pertukaran pelajar antara kedua kampus itu,” katanya,