Categories
NASIONAL

ABIM tuntut Bahasa Melayu terus didaulat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik kelonggaran syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan lantikan kontrak.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, keputusan merujuk kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah bertepatan dengan tuntutan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ABIM juga menuntut supaya usaha mendaulat Bahasa Melayu oleh kerajaan, tidak hanya terhad untuk sektor perkhidmatan dan perjawatan semata-mata.

“Paling utama, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu perlu dimaknai dengan memastikan ia tidak dipinggirkan fungsinya dalam sistem pendidikan kebangsaan dan ini termasuk memastikannya terus berfungsi sebagai bahasa penghantar utama untuk mata pelajaran di sekolah aliran kebangsaan.

“Tuntutan ini ABIM usulkan dengan merujuk Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan “maksud rasmi” adalah apa-apa maksud Kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa.

“Justeru, menjadi tanggungjawab utama kerajaan secara khususnya menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk sentiasa mengangkat, memartabat serta memelihara Bahasa Melayu,” katanya.

muhammad_faisal_abd_aziz_abimMengulas lanjut, Muhammad Faizal berkata, tanggungjawab dinyatakan termasuk mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah aliran kebangsaan.

Katanya, ABIM berpandangan sebarang usaha menggantikan Bahasa Melayu dengan bahasa asing sebagai medium pembelajaran sekolah kebangsaan adalah pengkhianatan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kerajaan mahu memperkenalkan dasar Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran tertentu seperti Dual Language Programe (DLP), ia harus dilaksanakan hanya sebagai subjek tambahan atau elektif sebagai pilihan tambahan tanpa perlu mengorbankan pembelajaran mata pelajaran utama dibuat menerusi medium Bahasa Melayu.

“Keluhuran Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati semua pihak dengan memahami secara komprehensif kerana ia berasaskan falsafah dan tujuan serta maksud supaya masyarakat dididik juga digerakkan berasaskan nilai termaktub di dalamnya,” katanya.