Categories
NASIONAL

Guna akaun 2 KWSP langsai baki pinjaman pendidikan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 70,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, berkuat kuasa 21 Julai ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, langkah itu antara penambahbaikan di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan bagi menggantikan syarat semasa pengeluaran sebelum ini.

Katanya, ia juga berkuat kuasa kepada semua tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

“Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka.

“Sebelum membuat pengeluaran, ahli digalak mendapatkan nasihat percuma di kaunter khidmat nasihat persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis pengeluaran terbaik mengikut kehendak mereka,” katanya dalam kenyataan.

hutang-wangSebelum ini, syarat semasa untuk menyelesaikan baki pinjaman pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat ijazah dan ke atas, serta yang setara dengannya adalah terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 1 April 2000 dan bagi penyelesaian pembiayaan pengajian ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman berkuat kuasa 2 Januari 2001.

Pada masa sama, syarat bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat diploma dan ke atas, serta yang setara dengannya terhad bagi pinjaman berkuat kuasa, pada 17 Januari 2006.

Turut berkuat kuasa serta-merta, ahli KWSP juga boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk pengeluaran umur 50 tahun atau pengeluaran penuh atau sebahagian umur 55 tahun dan 60 tahun sebulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam bulan sebelumnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau berkunjung ke cawangan KWSP di seluruh negara.