Categories
SELANGOR

Kaji mekanisme IPR, terus bantu warga emas

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JULAI: Mekanisme pelaksanaan bantuan di bawah Program Insentif Peduli Rakyat (IPR) dikaji semula bagi memastikan golongan emas berkelayakan menerima manfaat.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif itu dijalankan membabitkan kerjasama Kumpulan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB).

Katanya, ia sebahagian daripada komitmen penambahbaikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ke arah perancangan dasar lebih bermanfaat kepada golongan sasar.

“Pengurusan RMSB dan YAWAS masih belum mengemukakan cadangan baru kepada Kerajaan Negeri, namun RMSB diminta mengkaji mekanisme pelaksanaan manfaat lain selain fokus kepada program yang memberi impak lebih besar kepada ahli SMUE dengan mengambil kira semua program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Untuk tempoh kini, wujud cadangan pembayaran dibuat kepada warga emas semasa hayat yang perlu dikaji secara mendalam kerana mekanisme pelaksanaan sedia ada masih relevan dan sangat membantu terutama kepada waris miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13.

Terdahulu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan agenda peduli rakyat tanpa meminggirkan aspek kebajikan warga emas seluruh negeri.

Selain SMUE, warga emas berkelayakan turut dibantu di bawah Skim Peduli Sihat dengan tawaran milikan Kad Peduli Sihat bagi rawatan di klinik swasta yang mendaftar di bawah panel, Peduli Sihat.