Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN diminta jaga kesihatan, elak dijangkiti Covid-19 sebelum sidang dewan

SHAH ALAM, 9 MAC: Wakil rakyat negeri yang membantu kempen pilihan raya Johor diminta menjaga kesihatan sebaiknya sebelum menghadiri persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan.

Speakernya Ng Suee Lim berkata saranan itu bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19 sekali gus boleh menyertai perbahasan yang dijadual selama dua minggu sehingga 25 Mac.

“Semua ADN yang berkempen di Johor saya minta anda mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan sehingga tidak dapat hadir ke dewan.

“Individu lain termasuk pegawai kerajaan dan media juga diminta melindungi diri dan pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Suee Lim berkata semua yang terlibat dalam persidangan itu juga wajib membuat saringan awal selain memaklumkan pemeriksaan kawalan kehormat dan istiadat santapan dibatalkan.

Sebelum ini, media melaporkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mungkin diwajibkan menjalani ujian Covid-19 setiap hari sepanjang persidangan berlangsung jika jangkitan terus meningkat.

Menurut Suee Lim, arahan saringan harian menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen itu juga terpakai untuk pegawai dan pengamal media yang bertugas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana tambahan baik pulih jalan akibat bah antara usul sidang DNS

SABAK BERNAM, 28 FEB: Dana tambahan berjumlah RM200 juta bagi membaik pulih jalan akibat banjir tahun lalu antara usul yang dibentang dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bulan depan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata tiga jenis peruntukan diluluskan Kerajaan Negeri setakat ini, antaranya pembaikan benteng penahan banjir dan cerun susulan musibah itu.

“Setakat ini, untuk jangka masa pendek kebanyakan baik pulih hampir selesai. Bagi yang kritikal seperti di Sri Muda, Sepang, Gombak, Klang dan Kuala Selangor juga hampir selesai,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, beberapa individu turut terkorban dalam bencana itu.

Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit untuk prasarana selain sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor lantik pasukan bebas pantau pelaksanaan Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri akan melantik pasukan bebas bagi memantau pelaksanaan inisiatif dan projek yang terkandung dalam Belanjawan Selangor 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan segala yang diatur dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Kerajaan Negeri belajar dari pengalaman lalu dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan di samping meneroka perkara-perkara baharu untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak lupakan aspek pemantauan projek yang diumumkan…kita akan melantik dan mengetengahkan pasukan bebas supaya pelaksanaan dan pencapaian projek dibuat dengan baik,” katanya.

Berucap dalam penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin berkata aspek perolehan, ketelusan dan integriti perlu dipertahankan kerana ia diutamakan rakyat.

Pada 26 November, Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2022 dengan anggaran perbelanjaan RM2.34 bilion untuk meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Amirudin berkata belanjawan yang mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.323 bilion mengalami defisit sebanyak RM222.7 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker puji penglibatan aktif wakil rakyat ketika bersidang

SHAH ALAM, 9 DIS: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan hari ini selepas 10 hari bersidang sejak 26 November lalu.

Speaker Ng Suee Lim berkata persidangan kali ini berjalan lancar dengan penglibatan sangat aktif Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang.

“Masing-masing memberi pendapat, pandangan yang bernas ketika berbahas. Kita juga bersyukur kerana usul-usul diluluskan. Perbalahan ketika berbahas itu biasa kerana ruang demokrasi itu ada,” katanya.

Beliau turut berharap teladan yang ditunjukkan dalam sidang kali ini diteruskan pada masa akan datang.

“Kita juga berharap penglibatan ADN selepas ini lebih cemerlang di mana kita akan ada bengkel pemantapan untuk pastikan mereka lebih rapi dan matang ketika berbahas,” katanya.

Sidang Dewan Negeri membuka tirainya dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2022 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Negeri Selangor lulus dua usul, sembilan penyata

SHAH ALAM, 9 DIS: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan dua usul dan sembilan penyata yang dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Dewan Negeri (ADN).

Speaker Ng Suee Lim berkata dua usul berkenaan ialah Usul Dasar Belia Selangor 2020 dan Usul Cadangan Pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

“Usul Dasar Belia Selangor 2020 dibawa oleh EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman manakala Usul Cadangan Pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dibawa EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim,” katanya ditemui di sini.

Sembilan penyata yang diluluskan ialah:

  • Pewartaan sumber dan infrastruktur air sebagai tempat larangan/kawasan larangan/sasaran penting
  • Permohonan untuk pengeluaran hak milik strata bagi bangunan hotel
  • Fungsi dan peranan pejabat daerah dan agensi lain berkaitan dengan pengurusan dan pewartaan kampung serta penggubalan sebuah enakmen khas
  • Prestasi kaunter urus niaga di Pejabat Tanah dan Galian Selangor
  • Kategori miskin dan pemberian bantuan untuk golongan miskin di Selangor
  • Gerak kerja jawatankuasa pilihan khas pembasmian kemiskinan
  • Berkaitan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd
  • Isu penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran selepas penamatan program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran
  • Status pembinaan projek Taman Putra Perdana oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Perincian warta semula hutan simpan dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 9 DIS: Perincian bagi pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata status terkini merangkumi pembahagian lokasi yang benar-benar terlibat yang sedang dikemas kini oleh beberapa agensi negeri.

“Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Jabatan Perhutanan Selangor perlu bentangkan perincian itu kepada Kerajaan Negeri yang dijangka Disember 2021,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung status terkini pewartaan HSKLU pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian memaklumkan sekitar 486.2 hektar daripada kawasan HSKLU lulus untuk diwartakan semula selepas mengambil kira keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Proses penyahwartaan HSKLU hanya seluas kira-kira 42 hektar bagi penyelesaian isu milikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas kira-kira 8.5 hektar,” katanya.

Pada 8 September, Kerajaan Selangor membatalkan keputusan untuk menyahwarta hutan simpan berkenaan kecuali bagi pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan MMKN juga memutuskan sebahagian kecil kawasan kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri hilang RM50 juta lepas kecualikan cukai hiburan

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Selangor kehilangan lebih RM50 juta susulan pengecualian penuh duti hiburan antara Januari hingga September lalu.

Keputusan yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memberi kesan kepada hasil negeri, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Terima kasih pada Kinrara (Ng Sze Han) yang menjelaskan tentang cukai hiburan. Sebenarnya negeri hilang lebih RM50 juta, antaranya disebabkan panggung wayang tidak beroperasi.

“Pengurangan tersebut akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil negeri,” katanya pada sesi penggulungan usul perbelanjaan pembangunan 2022 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Sze Han yang juga EXCO kerajaan tempatan memaklumkan pengecualian penuh duti hiburan selama sembilan bulan dipersetujui negeri pada 24 November tahun lalu.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bersetuju mengutip semula cukai itu mulai 1 Oktober dan menyelaras bayaran untuk tahun depan dengan mengambil kira jumlah yang dibuat tahun ini.

Pada 2 Februari, Kerajaan Selangor mengecualikan duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema seluruh negeri berkuat kuasa 18 Mac 2020 hingga 31 Disember tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah dengan kesan kewangan sebanyak RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Cukai itu juga dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan dampak kewangan RM21.04 juta setahun.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dewan negeri lulus usul belanja pembangunan RM1.12 bilion

SHAH ALAM, 8 DIS: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan 2022 berjumlah RM1.12 bilion.

Kelulusan dibuat setelah mendapat persetujuan ahli dewan dan dibahas selama dua hari mulai semalam dengan bacaan sebanyak tiga kali, kata Speaker Ng Suee Lim.

“Bahawa menurut Seksyen 9, Subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, dewan ini membuat ketetapan bahawa peruntukan RM1.12 bilion yang dinyatakan dalam anggaran perbelanjaan pembangunan yang dibentangkan di hadapan Dewan mengikut seksyen 4(1) akta sama, diluluskan,” katanya.

Isnin lalu, dewan meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 berjumlah RM1.22 bilion setelah dibacakan sebanyak tiga kali sebelum berakhirnya sesi pertama persidangan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.34 bilion dalam Belanjawan Selangor 2022 bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.22 bilion atau 52 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.12 bilion lagi untuk pembangunan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem e-tanah mudahkan orang awam semak status

SHAH ALAM, 8 DIS: Selangor bakal menggunakan sistem e-tanah yang dibangunkan kerajaan persekutuan bagi memudahkan orang awam menyemak status tanah masing-masing.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah itu digunakan sebaik sahaja gabungan data dengan Sistem Maklumat Tanah Selangor (SeLIS) selesai dibuat.

Beliau turut memaklumkan Selangor merupakan negeri ketiga mengaplikasikan sistem berkenaan selepas Kuala Lumpur dan Perak.

“Sistem ini beri akses kepada orang awam untuk mendapat maklumat tertentu supaya tidak berlaku pertindihan antara penerima dan pemilik tanah, yang akhirnya terpaksa menanggung kos tertentu untuk membayar balik,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung perkembangan terkini guna tanah Kerajaan Negeri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata kemas kini senarai inventori tanah negeri diuruskan pejabat daerah dan tanah manakala pemantauan dan penyeliaan status tanah kerajaan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Beliau menjelaskan proses tersebut dibuat berkala melalui mesyuarat dan pemantauan di tapak bagi memastikan tanah kerajaan tidak dicerobohi mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

“Tanah berpotensi yang dikenal pasti dikaji semula daripada segi nilaian, lokasi, keadaan topografi, teknikal dan perundangan bagi perancangan dan pembangunan ekonomi di Selangor,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan ibu tunggal diselaras pastikan ramai dapat manfaat

SHAH ALAM, 7 DIS: Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS-IT) diselaras bagi memastikan lebih ramai golongan itu menerima manfaat negeri.

EXCO pembangunan sosioekonomi berkata seramai 1,661 individu menerima bantuan tersebut setakat Oktober lalu berbanding 5,000 kuota yang disediakan.

“Kita sedar ramai ibu tunggal di luar sana. Apabila memohon, perlu pengesahan mereka benar-benar ibu tunggal dan dokumen sampingan untuk sahkan pendapatan dan keadaan mereka.

“Program ini akan dinaik taraf kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tahun depan, kita akan selaraskannya,” kata V Ganabatirau.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Batang Kali Harumaini Omar berhubung permohonan rendah dalam program itu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Berhubung statistik keluarga miskin bandar dan ibu tunggal di Selangor, Ganabatirau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai data tersebut.

“Namun, statistik terkini bantuan dalam kategori ini sehingga Oktober lalu ialah RM14.7 juta untuk Bantuan Kanak-Kanak (BKK) manakala Bantuan Am Negeri (BA) pula RM10.9 juta,” katanya.

Bingkas memperuntuk RM300 sebulan atau RM3,600 setahun yang akan memanfaatkan 30,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) tahun depan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seldec perluas khidmat penghantaran ke seluruh negara

SHAH ALAM, 7 DIS: Penghantaran produk usahawan melalui Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diperluas ke seluruh Malaysia berikutan sambutan baik orang ramai.

EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu dibuat bersama syarikat logistik tempatan seperti Pos Laju, Line Clear dan Logistika.

Beliau berkata seramai 1,200 peniaga berdaftar dengan lebih 8,000 produk dijual melalui platform tersebut sejak dilancarkan pada Oktober 2019.

“Dalam platform Seldec, terdapat produk segar seperti ikan, ayam, daging, sayur dan buah-buahan, makanan sejuk beku,sedia dimakan, produk kering dan pelbagai lagi.

“Produk ini terdiri daripada perusahaan mikro kecil dan sederhana,” katanya mengulas keberkesanan program Seldec pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Chang Khim berkata inisiatif dalam talian itu turut merangkumi kerjasama Smart Selangor Delivery Unit, Yayasan Hijrah Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan seluruh Selangor terlibat memperkasa program keusahawanan ke arah Ekonomi dan Digital Pintar.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ringan beban petani, setiap DUN dapat satu tan baja kompos

SHAH ALAM, 7 DIS: Bantuan baja kompos antara satu hingga dua tan diagihkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meringankan beban petani menanggung kos pengeluaran tani.

EXCO pemodenan pertanian berkata langkah itu juga menggalakkan golongan berkenaan menggunakan produk tempatan berkualiti tinggi selain mampu mengurangkan pencemaran.

“Kita akan dapatkan nama petani di setiap DUN dan hantar terus kepada mereka, tidak akan dikumpulkan di pusat khidmat masyarakat.

“Bagi DUN yang mempunyai jumlah petani tinggi, mereka akan diberikan dua tan baja organik kompos,” kata Ir Izham Hashim pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung program pertanian rakyat untuk mengguna pakai tanah kerajaan yang terbiar.

Mengulas perkara itu, Ir Izham berkata data tanah tersebut sedang dikumpul untuk membangunkan aktiviti pertanian bersesuaian antaranya projek taman kekal pengeluaran makanan.

Jelasnya, terdapat 11 projek diuruskan Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Jabatan Perikanan ketika ini, dengan keluasan 1,300 hektar bernilai RM38 juta setahun.

“Ini tidak mencukupi dalam menyelesaikan isu jaminan bekalan, justeru Kerajaan Negeri buat keputusan bawah Pelan Transformasi Selangor untuk menambah tanah sesuai bagi rakyat menceburi pertanian dan meningkatkan hasil,” katanya.