Categories
SELANGOR

Lebih 50 tahun merdeka, masih ramai mati kempunan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JULAI: Tragedi kemiskinan yang masih berlaku di negara ini didakwa sebagai terancang ekoran mempunyai kaitan secara langsung dengan penyalahgunaan dan ketirisan dana awam.

Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi berkata, penyelewengan dana kerajaan menyebabkan peruntukan bantuan dan pembangunan untuk rakyat khususnya masyarakat luar bandar terpaksa dikurangkan.

“Sepatutnya kemiskinan tiada lagi dalam negara kita, namun apa yang berlaku hari ini umpama rakyat Sabak Bernam, walaupun kita sudah lebih 50 tahun merdeka tetapi saya sering menyebut ada di antara mereka yang mati dalam keadaan kempunan.

“Kempunan tak mampu main boling atau berenang di kolam renang yang jernih airnya kerana masalah kemiskinan. Sepatutnya tiada kemiskinan jika bilion ringgit dana awam yang hilang dapat dimanfaatkan rakyat di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ‘mengkaji impak skandal 1MDB terhadap rakyat Selangor’, pada hari kedua sidang Dewang Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Terdahulu, ADN Andalas, Dr Xavier Jayakumar membentangkan usul menggesa Kerajaan Negeri meneliti kesan terhadap pelaburan, ekonomi, percukaian dan rakyat Selangor secara keseluruhannya rentetan kes kecurian wang dan korupsi 1MDB.