Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pangsapuri Seri Perantau tidak pernah diabaikan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Isu kerosakan lif di Pangsapuri Seri Perantau tidak pernah diabai dan dipandang remeh Kerajaan Negeri, tegas Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar itu berkata, ia terbukti apabila RM7 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 24 unit lif di pangsapuri berkenaan menerusi Skim SMART LIFE (Smart Lift Improvement For Quality Life), pada Februari lalu.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri dua kali menawarkan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Seri Perantau untuk membaik pulih lif melalui Skim CERIA.

“Bagaimanapun, ia ditolak kerana JMB terbabit tidak dapat memberi komitmen bayaran pendahuluan lima peratus,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri juga secara serius sudah menyelesaikan isu pemilikan tanah di Pangsapuri Seri Perantau bagi membolehkan proses pengeluaran hak milik strata boleh dilaksanakan kepada pemilik.

ISKANDAR SAMADKatanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diarah mengeluarkan hak milik strata berdasarkan dua lot bagi mengelak pangsapuri berkenaan mengalami masalah pengurusan ekoran jumlah unit rumah tidak ideal bagi satu lot hak milik tanah.

“Kerajaan Negeri berasa dukacita kerana sebelum ini tiada tindakan penguatkuasaan daripada Kerajaan Persekutuan sehingga Kerajaan Negeri terpaksa berfikir di luar kotak bagi mengatasi kelemahan sedia ada.

“Namun, semasa Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya tanpa putus asa membantu penduduk Pangsapuri Seri Perantau, adalah tidak adil Kerajaan Negeri dituduh gagal dan lepas tangan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Saroni Judi mendakwa Kerajaan Negeri gagal menyelesaikan isu pangsapuri berkenaan dan mendesak Iskandar meletak jawatan.