Categories
NASIONAL

Perbincangan struktur PAKATAN berjalan lancar

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 2 JULAI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan perbincangan mengenai struktur Pakatan Harapan (PAKATAN) masih berjalan dan sedang diperkemaskan.

Menurut beliau, perbincangan tidak tertumpu kepada soal perjawatan semata-mata sebaliknya ke arah menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya tidak terlibat dalam mesyuarat lepas kerana mengerjakan umrah tetapi saya dimaklumkan Presiden KEADILAN (Dr Wan Azizah) bahawa proses perbincangan ini berjalan dengan baik.

“Cuma kita kena memperkemaskan sedikit sahaja lagi kerana pada masa sama fokus Pakatan Harapan untuk memastikan semua perbincangan ke arah pilihan raya ke-14 berjalan lancar.

“Struktur Pakatan Harapan bukan sahaja dari segi perjawatan tetapi persiapan semua parti dari segi manifesto dan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Eidul Fitri Peringkat Negeri Selangor di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mohamed Azmin berkata, struktur yang dirangka PAKATAN tidak boleh terikut cara diamalkan Barisan Nasional sebaliknya perlu menggabungkan kekuatan semua secara inklusif.

Katanya, perkara itu boleh diselesaikan secara baik dan lebih penting struktur yang dimukakan haruslah jelas termasuk perkara-perkara berkaitan PRU-14.
“Yang penting adalah PRU-14 memberikan kesan positif untuk dilakukan perubahan. Bukan siapa yang menduduki kerusi berkenaan tetapi apakah struktur yang lebih efektif

“Persiapan jentera juga sama penting seperti sebahagian daripada perbincangan yang sedang berjalan,” katanya.

=EZY=